Pesawat terbesar dunia milik Ukraine jadi mangsa terbaharu serangan Rusia
Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 28, 2022 10:50 MYT
Februari 28, 2022 10:50 MYT
Pesawat terbesar di dunia Antonov AN-225 dilaporkan musnah dalam kejadian terbaharu serangan ke atas Ukraine yang dilakukan oleh Rusia semalam.
Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba menyatakan bahawa pesawat yang diberi nama “Mriya” itu menjadi mangsa terbaharu tentera Rusia ketika melakukan serangan ke atas lapangan terbang berhampiran Kyiv.
“Rusia mungkin telah memusnahkan 'Mriya' kita.
"Tetapi mereka tidak akan dapat memusnahkan impian kita untuk sebuah negara Eropah yang kuat, bebas dan demokratik.
"Kita akan menang!" kata Kuleba.
Syarikat pertahanan negara Ukraine, Ukroboronprom, yang menguruskan pesawat Antonov itu telah mengeluarkan kenyataan dan mengesahkan perkara tersebut.
Menerusi kenyataan itu juga, syarikat tersebut bertekad akan menuntut Rusia menanggung kos penggantian semula pesawat itu yang bernilai lebih AS$3 bilion.
“Tugas kami adalah untuk memastikan kos ini ditanggung oleh Persekutuan Rusia yang telah menyebabkan kerosakan yang disengajakan kepada sektor penerbangan dan kargo udara Ukraine,” jelas kenyataan tersebut pada Ahad.
Tentera Rusia sebelum ini mendakwa telah menawan lapangan terbang Hostomel di mana AN-225 ditempatkan pada hari Jumaat.
Imej satelit dari Maxar Technologies juga menunjukkan kerosakan yang teruk pada bahagian hangar tempat AN-225 disimpan.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Amerika Syarikat (NASA) juga turut berkongsikan beberapa imej satelitnya yang menunjukan kemusnahan lapangan terbang tersebut.