Pesawat terbesar dunia lulus ujian, berjaya terbang buat kali pertama
Agensi
April 15, 2019 16:00 MYT
April 15, 2019 16:00 MYT
Kapal terbang yang digelar terbesar di dunia, Stratolaunch telah berjaya diterbangkan buat pertama kalinya.
Kapal terbang itu terbang selama dua jam setengah merentasi padang pasir Mojave, di utara Los Angeles, Amerika Syarikat.
Stratolaunch berlepas sebelum pukul 7 pagi waktu tempatan di Pangkalan Udara dan Angkasa Mojave (MASP) dengan mencapai kelajuan maksimum 189 batu sejam pada ketinggian 17,000 kaki, pada Sabtu.
Penerbangan ujian itu bertujuan untuk menguji prestasi dan pengendalian pesawat.
Ia menandakan satu kejayaan besar dalam industri penerbangan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Stratolaunch, Jean Floyd, penerbangan telah meningkatkan lagi misi syarikat itu untuk memberikan alternatif yang fleksibel kepada sistem pelancaran pesawat.
Tambahnya, dia sangat berbangga dengan pasukan Stratolaunch dengan hasil yang mereka perolehi.
"Kami sangat berbangga dengan pasukan Stratolaunch, kru penerbangan hari ini, rakan kongsi kami di Composite Scaled Northrup Grumman dan Pangkalan Udara dan Angkasa Mojave," katanya.