Pesawat tentera Nigeria terhempas, 7 terkorban
Astro Awani
Februari 21, 2021 04:38 MYT
Februari 21, 2021 04:38 MYT
ABUJA: Sebuah pesawat kecil milik tentera Nigeria terhempas di luar lapangan terbang Abuja pada Ahad.
Nahas yang dipercayai akibat kerosakan enjin itu meragut tujuh nyawa, menurut kenyataan oleh Tentera Udara Nigeria.
Pesawat model Beechcraft King Air 350i itu difahamkan dalam perjalanan ke bandar Minna, 110 kilometer di barat laut ibu negara, kata jurucakap tentera udara Ibikunle Daramole, lapor Reuters.
"Pesawat itu terhempas ketika melakukan penerbangan balik ke Lapangan Terbang Abuja selepas melaporkan kerosakan enjin.
“Pasukan penyelamat telah berada di lokasi kejadian.
"Malangnya kesemua anggota tentara di dalam pesawat meninggal dunia akibat nahas itu,” kata Daramole.
Ketua tentera udara mengarahkan satu siasatan dijalankan ke atas kejadian itu.
Presiden Muhammadu Buhari dalam pada itu menzahirkan ucapan takziah kepada anggota tentera udara dan keluarga mangsa terlibat.
"Saya amat sedih dengan kemalangan maut ini," kata Muhammadu Buhari dalam satu kenyataan.
Seorang saksi kejadian berkata pesawat terhempas ketika kembali ke lapangan terbang.
“Ketika pesawat turun, ia seolah bergelut untuk kembali ke lapangan terbang.
"Akhirnya, ia terhempas.
"Saya nampak semuanya meletup, api dan asap.
"Apabila tiba di lokasi, saya nampak mayat bergelimpangan di tanah,” kata Alaba Lawal yang menyaksikan kejadian itu.
Setakat ini identiti mangsa yang terkorban belum dikeluarkan Tentera Udara Nigeria.
Beechcraft King Air 350i itu ialah pesawat dua kipas keluaran Amerika Syarikat, Textron Aviation.
Siasatan kini sedang dijalankan untuk menentukan punca pesawat itu terhempas.
#pesawat terhempas
#Tentera Udara Nigeria
#Beechcraft King Air 350i
#Minna
#Lapangan Terbang Abuja
#Ibikunle Daramole
#Muhammadu Buhari