Pesawat Rusia terhempas: 19 mayat mangsa dijumpai

Khairunnisa Kasnoon
Julai 7, 2021 00:24 MYT
Operasi mencari dan menyelamat terpaksa ditangguhkan sehingga pagi Rabu kerana lokasi nahas sukar dimasuki dalam keadaan gelap. - Gambar/ AP
PASUKAN penyelamat menemui 19 mayat mangsa, sehari selepas pesawat penumpang Rusia terhempas di semenanjung Kamchatka, timur negara itu.
Pesawat Antonov An-26 yang membawa 28 penumpang dan anak kapal itu terhempas di kawasan tebing tinggi berhampiran laut di Palana, selepas ia gagal mendarat dalam cuaca buruk, petang Selasa.
Terdahulu, pesawat yang dalam perjalanan dari bandar Petropavlovsk-Kamchatsky ke Palana itu terputus hubungan dan hilang daripada radar.
Menurut pihak berkuasa, serpihan pesawat turut dijumpai pada petang Selasa di tepi pantai dan di laut dengan semua penumpang dan anak kapal disahkan terkorban.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa ditangguhkan sehingga pagi Rabu kerana lokasi nahas sukar dimasuki dalam keadaan gelap.
Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov memberitahu media tempatan, mayat pertama dibawa keluar dari dalam air.
Kementerian Kecemasan Rusia berkata, setakat ini 19 mayat dijumpai dengan satu telah dikenal pasti identitinya.
BACA: Pesawat Rusia terhempas, semua 28 penumpang, kru disah terkorban
“Ketua pihak berkuasa tempatan Palana, Olga Mokhireva antara penumpang dalam pesawat berkenaan,” ujar jurucakap pihak berkuasa Kamchatka.
Pihak berkuasa Kamchatka turut mengisytiharkan tiga hari berkabung.
Dalam pada itu, keluarga mangsa nahas akan menerima pembayaran lebih dari AS$47,200 yang akan merangkumi pampasan daripada syarikat penerbangan, pembayaran insurans dan subsidi pemerintah daerah.
Siasatan kini sedang dijalankan bagi mencari punca nahas samada disebabkan cuaca buruk, kesilapan teknikal atau kesilapan juruterbang.
#Rusia #pesawat #terhempas #penerbangan #cuaca buruk #penumpang #anak kapal #Nahas #terkorban
;