Pesawat Red Arrows terhempas, jurutera maut
Agensi
Mac 21, 2018 08:49 MYT
Mac 21, 2018 08:49 MYT
Seorang jurutera dari pasukan Aerobatics Red Arrows Tentera Udara Diraja (RAF) Britain meninggal dunia dalam satu kejadian jet Hawk terhempas di RAF Valley di Anglesey, utara Wales, pada Selasa.
Menurut Kementerian Pertahanan Britain dalam satu tweet, juruterbang pesawat itu selamat dan sedang menerima rawatan.
Polis dan pihak berkepakaran akan memulakan siasatan bagi memastikan apa yang telah berlaku dan menyebabkan kemalangan itu, kata polis dalam satu kenyataan.
Pasukan Red Arrows terkenal dengan persembahan udara mereka yang sering diadakan pada majlis melibatkan tentera dan kerabat diraja.
RAF dalam laman webnya menyifatkan mereka sebagai "duta untuk United Kingdom dalam dan luar negara".
Menurut laporan awal, pesawat itu terbang dari RAF Valley di lokasi latihan untuk operasi gunung dan maritim sebelum kembali semula ke RAF Scampton, Lincolnshire apabila ia terhempas.
Saksi dilaporkan berkata, seorang penumpang dilihat sempat melenting keluar dari pesawat terbabit, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang (waktu tempatan) itu, sebelum ia terhempas dan terbakar.
#Britain
#Hawk
#Jet
#kemalangan
#maut
#meninggal dunia
#pesawat
#tentera
#Tentera Udara Diraja Britain
#terhempas
#Tweet