Pesawat Qantas mendarat cemas di Sydney

Faida Rahim
Januari 18, 2023 14:10 MYT
Jurucakap Qantas berkata penerbangan itu mengalami masalah dengan salah satu enjin kira-kira sejam selepas berlepas.- Foto REUTERS
SYDNEY: Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Australia, Qantas dari Auckland, New Zealand dilaporkan selamat mendarat di Sydney, Australia selepas panggilan kecemasan dikeluarkan akibat kegagalan enjin, hari ini.
Memetik The Guardian, penerbangan Qantas QF144 selamat melakukan pendaratan cemas kira-kira 3.30 petang (12.30 tengah hari waktu tempatan).
Difahamkan, pesawat jenis Boeing 737 itu berlepas dari Auckland lewat sejam kira-kira 2.30 petang (11.30 pagi waktu tempatan) dan mendarat dengan bantuan satu enjin. Data radar penerbangan menunjukkan pesawat kehilangan keupayaan mengawal ketinggian dan kelajuan semasa di udara.
Selepas mendarat, lima kenderaan penyelamat bomba segera ke landasan untuk menyiasat keadaan enjin kiri pesawat.
Jurucakap Qantas berkata penerbangan itu mengalami masalah dengan salah satu enjinnya kira-kira sejam selepas berlepas.
Tambah Qantas, pesawat dijangka mendarat di Sydney selaras dengan prosedur standard akan dipenuhi oleh perkhidmatan kecemasan.
“Kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenai kejadian ini sebaik sahaja pesawat itu berada di darat dan telah dinilai oleh jurutera kami,” kata wakil pesawat itu sebelum pesawat selamat mendarat.
Pihak berkuasa masih belum membuat sebarang kenyataan atau mengeluarkan butiran kejadian.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Catherine King melahirkan rasa lega selepas menerima khabar pesawat mendarat dengan selamat dan langkah berjaga-jaga segera diambil dalam memastikan keadaan terkawal.
#Sydney #Qantas 144 #pendaratan cemas #Auckland
;