Pesawat peribadi ghaib selama 53 tahun ditemui di dasar tasik
Sinar Harian
Jun 15, 2024 18:00 MYT
Jun 15, 2024 18:00 MYT
NEW YORK: Serpihan sebuah pesawat jet peribadi yang hilang akibat cuaca salji ekstrem selama lebih 53 tahun selepas membawa lima lelaki telah berjaya ditemui di dasar Tasik Champlain, Vermont baru-baru ini.
Jet korporat itu hilang sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Burlington ke Providence, Rhode Island pada 27 Januari 1971.
Mereka yang menaiki pesawat itu termasuk dua anak kapal dan tiga pekerja syarikat pembangunan Georgia Cousins Properties.
Pencarian awal Jet Commander berkapasiti 10 tempat duduk sejurus kejadian dikatakan gagal selepas tasik itu membeku selama empat hari.
Sekurang-kurangnya 17 misi pencarian telah dilaksanakan sejak ia terhempas dengan menggunakan teknologi canggih dan lebih baharu, namun pesawat itu masih gagal ditemukan.
Ketua pasukan pencarian, Garry Kozak berkata, pesawat itu disyaki terhempas selepas dilaporkan hilang ketika cuaca buruk.
Dalam pengesanan yang dibuat pada 2023, kata Kozak, beliau menganalisis data sonar lama dan mengenal pasti potensi yang boleh menjadi kebarangkalian lokasi akhir pesawat berkenaan berkubur' iaitu di barat pulau Juniper.
Setahun kemudian, pasukan pencarian diketuai Kozak kembali ke tasik berkenaan dengan membawa peralatan canggih yang mampu berfungsi di dasar tasik itu.
Hasilnya, teknologi berkenaan berjaya merakamkan visual resolusi tinggi bangkai pesawat yang menunjukkan panel pintu, dengan satu daripada dua enjin termasuk alatan di bahagian kokpit pesawat berkenaan.
Buat masa ini, Kozak hanya berkongsi koordinat tepat medan serpihan itu dengan keluarga mangsa dan lokasinya dirahsiakan. - Agensi
*Artikel disiarkan di Sinar Harian