Pesawat penumpang terhempas dekat lapangan terbang di Mexico
Agensi
Julai 31, 2018 07:20 MYT
Julai 31, 2018 07:20 MYT
Sebuah pesawat penumpang kendalian Aeromexico dilaporkan terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Guadalupe Victoria dekat bandar Durango, Mexico.
Menurut jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Durango, dalam kejadian pada jam 4 petang Selasa itu, kira-kira 87 orang cedera sementara tiada kematian direkodkan.
Menteri Komunikasi dan Pengangkutan Mexico, Gerardo Ruiz Esparza, mengesahkan pesawat berkenaan membawa 97 penumpang dan empat anak kapal.
Menurut Milenio TV Network, mereka yang cedera berusaha menyelamatkan diri dan meminta bantuan di lapangan terbang berkenaan.
Berdasarkan foto yang dikongsi di media sosial, asap kelihatan keluar dari ekor pesawat yang tertera logo Aeromexico.
Syarikat penerbangan Aeromexico mengesahkan kejadian berkenaan yang berlaku ketika pesawat itu dalam perjalanan ke bandar Mexico.
Presiden Mexico, Enrique Peña Nieto telah mengarahkan agensi persekutuan termasuk Sekretariat Pertahanan Negara untuk memulakan operasi menyelamat di lokasi kejadian.