Pesawat penumpang mendarat cemas di padang di Siberia
Bernama
September 12, 2023 18:24 MYT
September 12, 2023 18:24 MYT
MOSCOW: Sebuah pesawat penumpang dalam penerbangan dari bandar peranginan Rusia Sochi ke bandar Omsk di Siberia telah mendarat cemas di sebuah padang di wilayah Novosibirsk kerana kegagalan sistem hidrauliknya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Ural Airlines Sergey Skuratov pada Selasa, lapor Sputnik.
Pesawat Airbus A320 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Rusia itu membuat pendaratan cemas di sebuah padang.
Pesawat itu membawa 167 orang termasuk enam kru dan 23 kanak-kanak.
Jabatan Kesihatan wilayah berkata sekurang-kurangnya lima orang cedera dalam kejadian itu, tetapi tiada seorang pun daripada kanak-kanak cedera.
"Apabila menghampiri Omsk semasa mendarat, sistem hidraulik 'hijau' pada pesawat gagal berfungsi.
"Secara umum, pesawat itu mempunyai tiga sistem hidraulik: hijau, kuning dan biru. Setiap satu bertanggungjawab terhadap parameter tertentu dalam operasi elemen pesawat," kata Skuratov kepada wartawan.
Komander pesawat membuat keputusan tepat untuk mendarat di lapangan terbang alternatif di Novosibirsk, dan kemudian menyedari bahawa bahan api tidak akan mencukupi, tambah CEO itu.
Penumpang pesawat itu akan dibayar 100,000 rubel (AS$1,058), tambahnya.
-- BERNAMA