Pesawat MiG-21 tentera udara India terhempas atas rumah, tiga orang awam maut

Bernama
Mei 8, 2023 19:45 MYT
Nahas berlaku berhampiran pangkalan tentera udara Suratgarh, manakala serpihan pesawat jatuh menghempap sebuah rumah di kawasan Bahlol Nagar di daerah Hanumangarh, utara Rajasthan. - Gambar/ Reuters
NEW DELHI: Tiga orang maut selepas sebuah pesawat MiG-21 milik Tentera Udara India terhempas di Rajasthan pada Isnin.
Nahas berlaku berhampiran pangkalan tentera udara Suratgarh, manakala serpihan pesawat jatuh menghempap sebuah rumah di kawasan Bahlol Nagar di daerah Hanumangarh, utara Rajasthan.
"Pesawat itu sedang menjalani latihan operasi rutin dari Stesen Tentera Udara di Suratgarh. Tidak lama selepas itu, ia dilaporkan mengalami masalah dan juruterbang cuba mengawal pesawat mengikut prosedur sedia ada.
"Setelah gagal berbuat demikian, juruterbang melenting keluar dari pesawat dan mengalami kecederaan ringan.
"Malangnya kemalangan itu telah menyebabkan tiga nyawa terkorban," menurut tentera udara dalam satu kenyataan.
Siasatan telah dilakukan bagi menyiasat punca kejadian.
India merancang untuk menamatkan keseluruhan aset MiG-21 yang usang menjelang 2025, menurut laporan media tempatan.
Pada Januari tahun ini, dua jet pejuang tentera udara -- Sukhoi-30 dan Mirage 2000 -- terhempas semasa misi latihan rutin berhampiran Gwalior di tengah India.
-- BERNAMA
#India #MiG-21 #pesawat terhempas #orang awam maut
;