Pesawat MH17 ditembak jatuh peluru berpandu buatan Rusia - Mahkamah Belanda

Astro Awani
November 17, 2022 21:32 MYT
Ketua Hakim, Hendrik Steenhuis (kanan) pada perbicaraan di Mahkamah The Hague pada Khamis. - foto REUTERS/Piroschka van de Wouw
KUALA LUMPUR: Mahkamah Belanda memutuskan pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh pada 2014 oleh peluru berpandu buatan Rusia yang disasarkan dari sebuah ladang berhampiran di Pervomaisk yang terletak di timur Ukraine.
“MH17 telah ditembak jatuh akibat tembakan peluru berpandu BUK dari (sebuah ladang berhampiran Pervomaisk) sekali gus mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal,” jelas Ketua Hakim, Hendrik Steenhuis pada perbicaraan di Mahkamah The Hague pada Khamis.
Dalam kejadian pada 2014 itu, semua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh apabila Boeing 777 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak di timur Ukraine, yang dikuasai oleh pihak pemisah.
Mahkamah diberitahu, kapal terbang itu telah ditembak menggunakan peluru berpandu yang dibekalkan Moscow.
Sehubungan dengan insiden itu, warga Rusia Igor Girkin, Sergei Dubinsky, Oleg Pulatov dan warga Ukraine Leonid Kharchenko telah diberkas pada 2020.
Mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan dengan tuduhan membunuh dan menyebabkan pesawat tersebut terhempas.
Namun, keempat-empat suspek terbabit masih bebas dan enggan menghadiri perbicaraan selama 30 bulan di Belanda.
BACA: MH17: Malaysia tunggu keputusan Mahkamah Belanda sebelum bertindak
BACA: MH17: Malaysia gesa negara, pihak terlibat beri kerjasama
Lapan tahun selepas kejadian itu, wilayah di mana MH17 terhempas telah menjadi salah satu medan tempur utama dalam pencerobohan Rusia di Ukraine.
Moscow bagaimanapun sebelum ini, telah menafikan semua penglibatan mereka.
Semasa perbicaraan sebelum ini, pihak pendakwa amat bergantung pada panggilan telefon yang dipintas dan data telefon mudah alih yang didakwa mengesan suspek berhampiran tapak pelancaran atau di pusat membuat keputusan.
Bahan forensik termasuk serpihan yang ditemui dalam mayat mangsa dipetik bagi membuktikan ia adalah peluru berpandu BUK.
#Amsterdam #MH17 #Malaysia Airlines #tembakan
;