Pesawat MH122 terpaksa berpatah balik akibat 'gangguan' penumpang
Agensi
Ogos 14, 2023 17:07 MYT
Ogos 14, 2023 17:07 MYT
PENERBANGAN Malaysia Airlines yang dalam perjalanan dari Sydney ke Kuala Lumpur dilapor berpatah balik susulan 'insiden kecemasan' pada Isnin.
Penerbangan Malaysia Airlines MH122 meninggalkan Sydney pada 1.40 tengah hari waktu tempatan dan mendarat semula di landasan pada pukul 3.47 petang.
Memetik AP, Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam satu kenyataan memaklukan pihak mereka bertindak balas terhadap "insiden kecemasan" tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney.
Begitupun, AFP tidak memperincikan butiran insiden berkenaan.
Difahamkan, pesawat tersebut kini ditempatkan di hujung landasan dan kenderaan kecemasan berada berdekatan.
Sementara itu, Mail Online melaporkan penerbangan tersebut terpaksa berpatah balik selepas seorang penumpang didakwa menjerit kepada penumpang: 'Adakah kamu hamba Allah?'.
Lelaki terbabit didakwa membawa beg galas yang mencurigakan.
Mail Online menambah seorang penumpang dalam penerbangan mendakwa suspek membuka zip beg galasnya sambil memasukkan tangannya, dan membuat ugutan kononnya membawa 'sesuatu' yang berbahaya.
Bagaimanapun, kru penerbangan dilaporkan telah memeriksa beg galas terbabit dan mendapati tiada bahan letupan.