Pesawat mendarat cemas gara-gara cermin retak

Sinar Harian
Mei 30, 2018 22:52 MYT
Pesawat jenis Airbus A321milik syarikat penerbangan Beijing Capital Airlines, yang sedang dalam penerbangan ke Nha Trang dengan 211 penumpang terpaksa berpatah balik, kira-kira sejam selepas berlepas. - Gambar fail
Sebuah pesawat dalam penerbangan dari China menuju Vietnam terpaksa berpatah balik untuk melakukan pendaratan cemas gara-gara cermin tingkap yang retak.
Agensi berita Xinhua melaporkan, pesawat jenis Airbus A321milik syarikat penerbangan Beijing Capital Airlines, yang sedang dalam penerbangan ke Nha Trang dengan 211 penumpang terpaksa berpatah balik, kira-kira sejam selepas berlepas.
"Selepas sejam, pesawat mengalami henjutan yang kuat dan gangguan udara.
"Saya sudah banyak kali menaiki kapal terbang dan tidak pernah menyaksikan gangguan seteruk ini.
"Ramai kanak-kanak dalam pesawat ketakutan dan menangis," kata salah seorang penumpang, Zhang kepada stesen televisyen kerajaan CCTV.
Menurutnya lagi, penumpang diberikan 400 yuan (RM239.12) sebagai pampasan.
Bagaimanapun, beberapa penumpang yang tidak berpuas hari enggan menaiki penerbangan alternatif kerana beranggapan pampasan itu terlalu rendah dan kecewa syarikat tidak memohon maaf.
Ketua penerbangan syarikat berkenaan berkata kepada Xinhua, rekahan kelihatan pada salah satu cermin, namun bukan cermin kokpit sebagaimana didakwa penumpang.
#Airbus #Beijing #CCTV #China #kerajaan #Nha Trang #penerbangan #pesawat #Vietnam
;