Pesawat mendarat cemas di Madrid selepas alami masalah enjin, tayar
Agensi
Februari 4, 2020 09:04 MYT
Februari 4, 2020 09:04 MYT
PENUMPANG penerbangan Air Canada berdepan detik cemas apabila pesawat dinaiki mereka terpaksa membuat pendaratan cemas akibat kerosakan pada enjin serta tayar.
Dalam kejadian pada Isnin di Lapangan Terbang Antarabangsa Adolfo Suarez-Barajas Madrid, pesawat penerbangan AC837 yang membawa 128 penumpang itu dilaporkan terpaksa menghabiskan masa empat jam melakukan pusingan di ruang udara ibu kota Sepanyol sebelum dibenarkan mendarat.
Lapor Associated Press, pesawat jenis Boeing 767 itu berlepas dari lapangan terbang berkenaan pada awal petang Isnin.
Namun, ia terpaksa meminta kebenaran membuat pendaratan 30 minit kemudian selepas juruterbangnya memberitahu sebuah enjin pesawat berkenaan rosak dan tayarnya pecah ketika berlepas.
Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tersebut memaklumkan pesawat itu mengalami masalah dan juruterbangnya sangat terlatih untuk sebarang kemungkinan.
Portal berita El Mundo turut memuat naik rakaman suara juruterbang yang memandu pesawat tersebut menjelaskan kepada para penumpang bahawa pesawat itu terpaksa berpatah balik kerana mengalami masalah tayar pecah semasa berlepas.
“Oleh kerana pesawat terlalu berat, kita terpaksa membuat beberapa pusingan bagi membakar bahan api sebelum boleh mendarat,” jelas juruterbang terbabit.
Sehingga kini, tiada maklumat lanjut mengenai punca kerosakkan dimaklumkan.
Dalam pada itu, beberapa penduduk tempatan turut memuat naik video di atas talian yang memaparkan sebuah pesawat terbang dengan ketinggian yang agak rendah daripada biasa di kawasan pusat bandar itu.