Pesawat Malindo Air tergelincir dari landasan ketika berlepas
Afiq Ariffin
Jun 20, 2019 18:47 MYT
Jun 20, 2019 18:47 MYT
Sebuah pesawat Malindo Air dilapor tergelincir ketika berlepas dari landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Husein Sastranegara, Bandung, Jawa Barat pada petang Khamis.
Bagaimanapun, tiada kematian ataupun kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang dialami pesawat jenis Boeing 737-800NG tersebut.
Malindo Air dalam kenyataannya berkata pesawat dengan nombor penerbangan OD-301 itu terkeluar dari landasan pacu atau runway excursion ketika sedang membelok sebelum berlepas dari landasan.
Menurut kenyataan itu, ketika kejadian, terdapat 122 penumpang dan kru di dalam pesawat itu.
Kesemua 114 penumpang dan lapan kru pesawat dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
"Ketika ini, Malindo Air sedang merancang semula perjalanan penumpang.
"Malindo Air juga meminta maaf atas ketidakselesaan yang berlaku dan akan mengutamakan faktor keselamatan," tulis Malindo Air dalam kenyataannya.
#Boeing
#Lapangan Terbang Antarabangsa Husein Sastranegara
#Malindo Air
#OD-301
#penerbangan
#pesawat tergelincir