Pesawat Malindo Air terbabas di Kathmandu
Agensi
April 20, 2018 15:17 MYT
April 20, 2018 15:17 MYT
Pesawat Malindo Air dari Kathmandu ke Kuala Lumpur mengalami gangguan teknikal sehingga terbabas dari landasan penerbangan semasa membuat pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA), semalam.
Menurut Pengurus Besar TIA, Raj Kumar Chettri, pesawat berkenaan yang ingin berlepas terpaksa dibatalkan ketika kapten pesawat melihat terdapat gangguan di monitor kokpit pada saat terakhir.
“Pesawat berkenaan tidak dapat berhenti dan terbabas kira-kira 30 meter dari landasan. Pesawat tersebut akhirnya tersekat dan berhenti di padang rumput sekitar 11.08 malam (waktu tempatan),” katanya.
Chettri juga berkata pesawat jenis Boeing 737-900, pendaftaran 9M-LNJ dirancang akan diangkut dan mengambil masa sekurang-kurangnya empat jam atau sekitar 12 tengah hari untuk mengeluarkan pesawat itu.
Tiada kecederaan dilaporkan sewaktu berlakunya kecemasan berkenaan.
Landasan untuk penerbangan antarabangsa telah ditutup, namun penerbangan domestik tetap beroperasi seperti biasa.
Faktor berlakunya kecemasan pesawat berkenaan belum dipastikan.
Sebelum ini, pesawat Turkish Airlines juga turut mengalami nasib yang sama ketika ingin mendarat, menyebabkann lapangan terbang berkenaan terpaksa ditutup selama empat hari.
Nepal memiliki lapangan terbang antarabangsa tunggal dan mempunyai landasan paling sukar serta terpencil di dunia.
Negara Himalaya itu juga memiliki rekod keselamatan udara yang buruk berikutan beberapa kes pesawat terbabas di lapangan terbang berkenaan.
Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo Air, Andrea Leong berkata, kesemua 132 penumpang dan anak kapal pesawat bernombor OD181 itu telah dikeluarkan.
“Tiada sebarang kecedaraan berlaku terhadap kesemua penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.
“Bantuan kepada penumpang terjejas seperti makanan dan tempat penginapan telah disediakan serta menyusun semula penerbangan seterusnya,” jelasnya dalam kenyataan di sini.
Syarikat penerbangan berkenaan amat kesal atas kesulitan penumpang yang dialami disebabkan insiden berkenaan.