Pesawat Lion Air tergelincir ketika hujan lebat
Agensi
Februari 17, 2019 13:18 MYT
Februari 17, 2019 13:18 MYT
Pesawat tambang murah Indonesia, Lion Air tergelincir dari landasan ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio di Pontianak, Indonesia pada Sabtu.
Pesawat yang membawa 182 penumpang dan tujuh anak kapal dalam penerbangan dari Jakarta ke Pontianak itu dilapor terbabas ketika keadaan hujan lebat.
Namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kesemua 189 penumpang dan kru Boeing 737-800NG itu berada dalam keadaan selamat.
Dalam pada itu, media tempatan memaparkan bahagian depan pesawat itu yang hampir mengenai landasan manakala roda hadapannya pula hampir musnah.
Sementara itu, beberapa penumpang melahirkan rasa syukur selepas terselamat daripada tragedi berkenaan.
Seorang penumpang, Budi memberitahu Bangkapos.com, pesawat berkenaan mendarat dalam keadaan kurang sempurna berikutan landasan yang digenangi air.
Bagi Masrial dari Sumatera Barat, dia mengakui melakukan sujud syukur sebanyak lima kali selepas pesawat selamat mendarat.
“Saya duduk di tempat duduk belakang. Semasa mendarat, saya melihat ia sedikit tersasar. Kru pesawat meminta kami bertenang dan berdoa,” katanya.
Pada Oktober 2018, sebuah pesawat Lion Air terhempas di laut Jawa menyebabkan semua 189 penumpang di dalam pesawat maut.
Pada November tahun lepas, pesawat Lion Air, JT 633 dari Bengkulu-Jakarta terpaksa dibatalkan selepas ia terlanggar tiang lampu koordinat ketika mahu berlepas, malam Rabu.
BACA: Lagi insiden libatkan Lion Air