Pesawat Lion Air terbang 'di luar kebiasaan' sehari sebelum terhempas

Agensi
Oktober 30, 2018 16:46 MYT
Pesawat jet Lion Air Boeing 737 yang terhempas pada pagi Isnin di Laut Jawa, Pangkal Pinang telah mengalami masalah teknikal pada penerbangan lepas - Reuters
Pesawat malang Lion Air Boeing 737 yang terhempas pada pagi Isnin bersama 189 penumpang dan anak kapal dikatakan terbang dengan cara 'luar biasa' sehari sebelum terhempas di Laut Jawa.
Menurut data yang diperolehi daripada laman web pengesan penerbangan FlightRadar24, pesawat telah mengalami masalah teknikal pada penerbangan pada petang sebelumnya.
Selepas berlepas dari Denpasar di Bali pada petang Ahad, pesawat tersebut telah melaporkan variasi yang luar biasa dalam ketinggian dan kelajuan udara dalam beberapa minit awal penerbangan termasuk.
Ini termasuk penurunan mendadak ke paras 875 kaki dalam tempoh 27 saat sebelum distabilkan dan kembali meneruskan penerbangan ke Jakarta.
Bagaimanapun, juruterbang memutuskan untuk mengekalkan pengendalian pesawat tersebut pada ketinggian maksimum 28,000 kaki berbanding dengan 36,000 kaki pada laluan yang sama pada awal minggu.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Nahas pesawat Lion Air
BACA: Nahas Lion Air JT610: Kebanyakan mangsa tersangkut pada kerusi pesawat
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lion Air , Edward Sirait, masalah teknikal yang dihadapi pada penerbangan Denpasar ke Jakarta itu telah diselesaikan mengikut prosedur yang betul.
Sementara itu dua penumpang pesawat Lion Air yang menaiki pesawat itu melalui penerbangan Denpasar ke Jakarta telah memuatnaik status di instagram melaporkan mereka seakan sedar masalah sistem penghawa dingin dan lampu kabin sebelum berlepas ke Jakarta.
"Saya amat marah kerana sebagai seorang penumpang yang telah membayar tiket, kami mempunyai hak untuk mempersoalkan keselamatan pesawat ini," kata penyampai TV , Conchita Caroline yang juga menaiki penerbangan ke Jakarta pada Ahad.
Penerbangan tersebut juga dikatakan telah ditangguhkan selama tiga jam.
Ia tidak jelas, sama ada masalah kabin itu berkaitan dengan masalah teknikal yang dilaporkan oleh CEO syarikat penerbangan itu.
Penerbangan Denpasar ke Jakarta terbabit telah selamat mendarat pada 10.55 malam (waktu tempatan) pada Ahad. Ia memberikan masa yang cukup kepada enam jurutera untuk memeriksa pesawat tersebut sebelum penerbangan Jakarta ke Pangkal Pinang pada jam 6:20 pagi Isnin.
Pesawat itu dijadualkan tiba di Pangkal Pinang, Belitung pada jam 7.20 pagi sebelum nahas.

Sehingga kini, tiada lagi mangsa selamat yang ditemui.

Hanya yang ditemui mayat, cebisan mayat dan juga barang-barang penumpang termasuk sebuah beg dan juga sarung telefon pintar milik salah seorang penumpang buat netizen terharu.

#Jakarta #JT610 #Nahas #Pangkal Pinang #penerbangan #PrayforJT610
;