'Pesawat kiamat' sertai sambutan Hari Kemenangan Soviet terhadap Nazi

Astro Awani
Mei 10, 2022 11:40 MYT
Dalam perang nuklear, pesawat itu akan membawa Presiden Rusia dan ia turut dilengkapkan dengan teknologi canggih dan terkini. - Foto REUTERS
MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin mengirimkan peringatan 'hari kiamat' kepada negara Barat ketika Moscow memperingati sambutan 77 tahun kemenangan Kesatuan Soviet terhadap Nazi Jerman.
Menurut laporan Reuters, dalam sambutan Hari Kemenangan tahun ini, Putin berpidato di hadapan pasukan tentera dan asetnya termasuk kereta kebal, roket, peluru berpandu dan senjata lain.
Bahkan, untuk pertama kalinya, pesawat Ilyushin II-80 juga menyertai 'fly-past' dalam majlis berkenaan dan terbang di atas Gereja St Basil.
Pesawat itu dikenali sebagai "pesawat kiamat", pesawat yang dirancang membawa pegawai tertinggi negara itu jika terjadinya perang nuklear.
Ketika perang nuklear, pesawat yang dilengkapi teknologi canggih dan terkini itu akan membawa Presiden Rusia ke lokasi selamat.
Walau bagaimanapun, spesifikasi pesawat itu dirahsiakan.
Selain 'pesawat kiamat', jet tempur supersonik dan bomber strategis TU-160 turut melakukan 'fly-past' dalam sambutan itu.
Untuk rekod, Putin telah berulang kali menyamakan perang di Ukraine dengan tentangan yang dihadapi Kesatuan Soviet ketika serangan bala tentera Adolf Hitler pada 1941.
#pesawat kiamat #Valdimir Putin #Kesatuan Soviet #Ilyushin II-80
;