Pesawat kargo nyaris menjunam ke lagun, 'terlajak' di landasan sewaktu mendarat
Faida Rahim
September 25, 2022 18:24 MYT
September 25, 2022 18:24 MYT
PARIS: Lapangan terbang Montpellier yang terletak di selatan Perancis terpaksa ditutup berikutan insiden sebuah pesawat kargo mendarat di kawasan lagun berhampiran.
Pesawat Boeing milik 737 milik West Atlantic itu dilaporkan tiba di Montpellier dari lapangan terbang Charles de Gaulle Paris sekitar jam 3 pagi, semalam.
Dalam pada itu, Biro Siasatan Kemalangan Udara Perancis (BEA) memaklumkan pesawat itu ‘terlajak’ ketika mendarat di landasan.
BEA turut mendedahkan sekeping foto memaparkan pesawat berkenaan dalam posisi bahagian enjin kanan pesawat berada di dalam air.
Foto itu turut menunjukkan pintu di bahagian depan pesawat terbuka sebelum anggota pasukan keselamatan tiba di lokasi kejadian.
Menurut data yang dikeluarkan laman web Flightradar24, pesawat berkenaan bergerak dengan halaju yang tinggi sekitar 160 knot dan ketika mendarat sekali gus membuatkan pesawat gagal berhenti di landasan seterusnya mendarat di atas air.
Sementara itu, semua penerbangan yang dijadualkan di sebelah pagi dibatalkan termasuk penerbangan easyjet dari London menuju ke Montpellier pada jam 6.15 pagi.