Pesawat Indonesia bawa 54 penumpang terputus perhubungan
Agensi
Ogos 16, 2015 17:40 MYT
Ogos 16, 2015 17:40 MYT
Sebuah pesawat domestik Indonesia yang membawa 54 penumpang dan krew terputus perhubungan dengan pusat kawalan trafik udara pada Ahad di timur daerah Papua.
Memetik laporan Reuters, Ketua Badan SAR Nasional (BASARNAS) Indonesia, Bambang Soelistyo memaklumkan pihak berkuasa telah terputus hubungan dengan pesawat berkenaan.
"Terputus hubungan dengan kapal terbang," kata ketua BASARNAS Bambang Soelystyo kepada Reuters melalui telefon.
Memetik akaun Twitter rasmi BASARNAS, pesawat tersebut merupakan pesawat milik Trigana Air penerbangan TGN267 yang membawa 44 penumpang dewasa, lima kanak-kanak dan lima krew.
Memetik portal berita Detik.com, krew terdiri daripada seorang pilot (Hasanudin), seorang flight officer (Ariadin), dua pramugari (Ika dan Ditta) dan seorang mekanik (Mario).
Menurut laporan, kali terakhir pesawat itu menghubungi menara ATC Sentani pukul 2.55 petang waktu tempatan.
Pesawat itu berlepas dari Jayapura pukul 2.22 petang dan sepatutnya tiba di Oksibil pukul 3.04 petang waktu tempatan.
Pesawat terbabit adalah jenis twin turboprop model ATR 42-300 yang dihasilkan sejak awal 1980an hingga 1996.
Menurut FlightRadar24, pesawat terbabit tidak dilengkapi dengan peralatan pengesanan satelit ADS-B.
Pada jam 7 malam waktu Malaysia, BASARNAS menerusi Twitter berkata operasi pencarian untuk pesawat itu ditunda ke esok jam 6 pagi waktu tempatan berikutan cuaca gelap.