Pesawat Hawaiian Airlines buat pendaratan cemas di Tokyo

Agensi
Julai 18, 2016 02:56 MYT
Pesawat jenis Airbus 330 itu membuat pendaratan cemas sekitar jam 1.30 pagi waktu tempatan. - Foto AP
Sebuah pesawat milik Hawaiian Airlines dilaporkan membuat pendaratan cemas awal pagi ini di Lapangan Terbang Heneda, Tokyo menyebabkan tayar pesawat meletup dan pembatalan beberapa jadual penerbangan.
Kejadian bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan, lapor media tempatan, NHK.
Penerbangan HA 458, yang sepatutnya berlepas dari lapangan terbang itu menuju ke Honolulu, Hawaii terpaksa berpatah balik selepas bahagian kokpit pesawat menunjukkan tanda-tanda tidak normal pada sistem hidraulik pesawat.
Pesawat jenis Airbus 330 itu membuat pendaratan cemas sekitar jam 1.30 pagi waktu tempatan.
Kesemua 293 penumpang dan anak kapal dilaporkan selamat.
Laporan oleh agensi berita Asahi Shimbun berkata lapan dari 10 tayar pesawat meletup dan terdapat kesan tumpahan minyak di landasan.
#Hawaiian Airlines #Jepun #Lapangan Terbang Heneda #pendaratan cemas #Tokyo