Pesawat 'ghaib' lebih 50 tahun akhirnya ditemui di dasar tasik

Reuters
Jun 14, 2024 23:11 MYT
Dalam pengesanan yang dibuat pada 2023, anggota pencarian menganalisis data sonar lama dan mengenal pasti potensi yang boleh menjadi keberangkalian lokasi akhir pesawat berkenaan 'bersemadi' iaitu di barat pulau Juniper. - Reuters
LIMA penumpang, sebuah pesawat kecil, terhempas dan hilang begitu sahaja?
Di mana mereka? Itu persoalan yang pastinya berlegar di minda sesiapa sahaja apabila menerima perkhabaran seperti ini.
Namun misi pencarian pesawat itu akhirnya membuahkan hasil dan menjawab segala misteri kerana bangkai dan serpihannya ditemui 'terkubur' di dasar Tasik Champlain, Vermont, Amerika Syarikat.
Sekurang-kurangnya 17 misi pencarian telah dilaksanakan sejak pesawat berkenaan terhempas pada Januari 1971, yang membawa lima penumpang lelaki.
Dalam kronologi ringkas kemalangan yang berlaku lebih lima dekad itu, penerbangan pesawat kecil itu dilaporkan dilakukan dalam keadaan cuaca ekstrem.
Menurut Garry Kozak, iaitu individu yang 'menakhoda' misi pencarian kali ini, operasi mencari dan menyelamat digerakkan dengan segera sejurus selepas laporan kemalangan diterima.
Bagaimanapun cuaca sejuk di wilayah itu membawa kepada pembekuan tasik yang turut dikenali sebagai 'The Sixth Great Lake' di Amerika.
Ia sekali gus mengakibatkan operasi mencari dan menyelamat gagal dan terpaksa dihentikan sebelum disambung pada Mei tahun yang sama.
Operasi kedua yang dijalankan selama dua minggu itu juga tidak membawa sebarang perkembangan positif dengan lokasi sebenarnya kekal misteri.
Dalam pengesanan yang dibuat pada 2023, kata Kozak, beliau menganalisis data sonar lama dan mengenal pasti potensi yang boleh menjadi keberangkalian lokasi akhir pesawat berkenaan 'bersemadi', iaitu di barat pulau Juniper.
Setahun kemudian, pasukan pencarian diketuai Kozak kembali ke tasik berkenaan dengan membawa jentera pencarian canggih yang mampu berfungsi di dasar tasik itu.
Hasilnya? Teknologi berkenaan berjaya merakamkan visual resolusi tinggi bangkai serta serpihan pesawat yang menunjukkan panel pintu, satu daripada dua enjin termasuk alatan di bahagian kokpit pesawat malang berkenaan.
Saksikan rakaman video yang dikongsikan Reuters di sini:
Pesawat 'lesap' di dasar tasik lebih 50 tahun ditemui
#Misteri #Kehilangan pesawat #terhempas #Lake Champlain #Vermont #Amerika Syarikat
;