Pesawat Emirates alami kemalangan sewaktu mendarat di Dubai
Agensi
Ogos 3, 2016 18:26 MYT
Ogos 3, 2016 18:26 MYT
Sebuah pesawat milik penerbangan Emirates dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan sewaktu melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, petang tadi.
Menurut kenyataan di media sosial Emirates, penerbangan EK 521 sedang membawa 275 penumpang dan anak kapal ketika nahas.
Pesawat berkenaan membawa penumpang dari dari Thiruvananthapuram di India ke Dubai di Emiriah Arab Bersatu.
Jurucakap Kerajaan UAE melaporkan kesemua 275 penumpang dan anak kapal selamat keluar dari pesawat.
Insiden berlaku pada sekitar 12 tengah hari waktu tempatan.
Dalam senarai penumpang yang dikeluarkan Emirates, majoriti penumpang adalah rakyat India.
Dua rakyat Malaysia juga disahkan antara penumpang.
Sementara itu dalam satu kenyataan malam ini, Kementerian Luar turut mengesahkan dua warganegara Malaysia dikenal pasti berada dalam pesawat tersebut. Namun mereka masih belum dapat dihubungi.
"Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai masih belum dapat menghubungi warganegara Malaysia yang terlibat dalam insiden ini, memandangkan kesemua yang terlibat sedang ditempatkan dalam bilik kawalan kecemasan.
"Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai sedang bekerjasama dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti warganegara Malaysia lain yang terlibat," kata kenyataan itu lagi.
Selain itu Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai akan terus memantau situasi semasa dan akan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada warganegara Malaysia yang terlibat.