Pesawat dipercayai bawa Presiden Sri Lanka, jadi kapal terbang paling dijejaki di seluruh dunia

Agensi
Julai 14, 2022 18:21 MYT
Rekod itu menunjukkan minat global terhadap perkembangan yang berlaku di negara pulau berkenaan yang dihimpit masalah ekonomi dan politik. - Gambar hiasan/Unsplash
MALE: Sebuah pesawat Saudia Airlines dari Maldives ke Singapura yang dipercayai membawa Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa, menjadi kapal terbang yang paling dijejaki di dunia pada Khamis.
Rekod itu menunjukkan ‘minat’ global terhadap perkembangan yang berlaku di negara pulau berkenaan yang dihimpit masalah ekonomi dan politik.
Pesawat Saudia 788 yang berlepas dari Male telah dijejaki kira-kira 5,000 pengguna pada 7.43 pagi waktu tempatan, berdasarkan data Flightradar24.com.
Jumlah itu adalah lebih tiga kali ganda jumlah pengguna yang menjejaki pesawat Angkatan Udara Perancis yang melintasi ruang udara Eropah.
Rajapaksa dilaporkan menaiki pesawat Saudia itu untuk ke Singapura dan seterusnya ke Arab Saudi, lapor Associated Press pada Awal Khamis, dengan memetik sumber rasmi di Maldives yang enggan dinamakan.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner berkenaan, dijadualkan mendarat di Singapura pada jam 7.12 malam, menurut data Flightradar24.
Pada jam 6.30 petang waktu Malaysia, pesawat berkenaan dilihat sudah mula melintasi ruang udara di Selat Melaka.
Terdahulu, media Sri Lanka melaporkan, Rajapaksa dan isterinya tidak menaiki sebuah pesawat lain, iaitu Singapore Airlines, untuk berlepas ke Singapura dari Male, kerana menunggu sebuah pesawat persendirian. Sumber menyatakan, perubahan itu disebabkan 'isu keselamatan'.
Rajapaksa melarikan diri dari Sri Lanka ke Maldives pada Rabu, ketika protes besar-besaran ke atas kerajaan pimpinannya sedang berlangsung.
Rajapaksa dijangka meletakkan jawatan secara rasmi di setelah tiba di destinasi tersebut, setelah melepasi tempoh yang diumumkannya sendiri pada Rabu.
#Presiden Sri Lanka #Gotabaya Rajapaksa #Saudia Airlines #Flightradar
;