Pesawat buatan pertama Indonesia tersangkut di pintu masuk tol
Afiq Ariffin
Ogos 25, 2020 08:21 MYT
Ogos 25, 2020 08:21 MYT
Sebuah prototaip pesawat yang dalam perjalanan ke muzium tersangkut pada pintu masuk plaza tol ketika proses pemindahan.
Pesawat buatan pertama Indonesia pada tahun 1995 itu bakal dipamerkan di Muzium Pusat Angkatan Udara Indonesia, Yogyakarta di Jawa Tengah.
Menurut pihak berkuasa, pesawat jenis Turboprop Gatotkaca N250 itu dalam perjalanan dari Jawa Barat.
Kejadian berlaku apabila pemandu trak yang mengangkut kapal terbang berkenaan tidak sedar bahawa muatannya itu terlalu tinggi.
Menurut Pengurus Operasi Tol PT Trans Marga, Fauzi Abdurrahman, kakitangannya membantu pemandu trak berkenaan mengundurkan trak yang membawa pesawat itu dari pintu tol bagi mengelakkannya mengalami kerosakan.
“Kami membantu trak berkenaan mengundurkan kenderaannya serta membawa ia ke pintu gerbang yang lebih besar bagi membolehkan ia boleh melepasi jalan itu.
“Bagaimanapun, tiada kerosakan teruk pada pesawat mahupun pintu tol berkenaan,” katanya.
Proses mengalihkan pesawat berkenaan ke pintu tol lain mengambil masa lebih tiga jam.
Setelah melepasi pintu masuk tol berkenaan, trak itu kemudiannya meneruskan semula perjalananannya ke muzium dengan selamat.
Pesawat N250 yang dibina pada tahun 1995 itu menjadi kebanggaan rakyat Indonesia.
Ia merupakan kapal terbang pertama yang dibangunkan menerusi strategi pembangunan utama yang dilancarkan bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie ketika beliau menjadi Menteri Teknologi dan Penyelidikan.
Namun bagaimanapun, pembuatannya terpaksa diberhentikan selepas Indonesia menghadapi krisis ekonomi pada 1998.
#BJ Habibie
#Fauzi Abdurrahman
#Indonesia
#kapal terbang
#Menteri Teknologi dan Penyelidikan
#pesawat
#presiden
#tersangkut
#tol
#Turboprop Gatotkaca N250