Pesawat bawa Pelosi tinggalkan Kuala Lumpur, mungkinkah Taiwan destinasi seterusnya? - Laporan

Agensi
Ogos 2, 2022 16:56 MYT
Pelosi hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun di bangunan Parlimen pada Selasa ketika kunjungannya ke Malaysia. - Foto ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
SEBUAH pesawat Tentera Udara Amerika Syarikat, dipercayai membawa Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi dilaporkan telah meninggalkan Kuala Lumpur, menurut laman web pengesan penerbangan, Flightradar24.
Memetik laporan South China Morning Post, pesawat SPAR19 itu dilihat berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 3.42 petang.
Begitupun, tidak dapat dipastikan sama ada Pelosi atau delegasinya berada dalam pesawat berkenaan.
BACA: Nancy Pelosi kunjungi Speaker Dewan Rakyat di Parlimen
Mengikut jadual, Pelosi selepas ini dilaporkan akan mendarat di Taiwan - tidak menghiraukan amaran China sebelum ini - dan akan bertemu Presiden, Tsai Ing-wen pada Rabu.
Pesawatnya dijangka mendarat di lapangan terbang Songshan sekitar jam 10.20 malam, menurut media Taiwan dan tidak dapat dipastikan sama ada pesawat itu diiringi oleh pesawat tentera AS atau tidak.
Beijing sebelum ini telah berikrar untuk mengambil “tindakan tegas” sebagai tindak balas kepada lawatan yang tidak diumumkan itu.
AS-Malaysia | Nancy Pelosi kunjungi Azhar di Parlimen
Malah, China dan Taiwan pada Selasa dilaporkan telah meningkatkan jumlah tentera di kawasan yang merentasi Selat Taiwan.
Tanpa mengesahkan jadual perjalanan Pelosi, Perdana Menteri Taiwan Su Tseng-chang berkata, pulau yang diperintah sendiri itu akan mengalu-alukan kedatangan mana-mana tetamu asing.
BACA: Isu kelapa sawit, pemerdagangan manusia tumpuan perbincangan Azhar, Pelosi
Taiwan "akan membuat atur cara yang paling sesuai" untuk tetamu sedemikian dan menghormati rancangan mereka, katanya kepada pemberita pada awal Selasa ketika ditanya mengenai lawatan Pelosi.
China menganggap perjalanan Pelosi sebagai sokongan kepada pentadbiran pro-kemerdekaan Tsai yang melihat Taiwan sebagai wilayah pemberontak di bawah prinsip Satu China.
#Nancy Pelosi #Amerika Syarikat #China #Taiwan
;