Pesawat bawa Nancy Pelosi jadi kapal terbang paling dijejaki di seluruh dunia
Astro Awani
Ogos 2, 2022 19:37 MYT
Ogos 2, 2022 19:37 MYT
KUALA LUMPUR: Pesawat Tentera Udara Amerika Syarikat (AS), yang membawa Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi menjadi kapal terbang yang paling dijejaki di dunia pada Selasa.
Minat global terhadap pergerakan pesawat yang membawa satu-satunya wanita yang pernah berkhidmat sebagai Speaker dewan itu dan delegasinya dipercayai ada kaitan dengan laporan bahawa Taiwan turut berada dalam jadual lawatannya.
Berdasarkan laman web pengesan penerbangan, Flightradar24, pesawat SPAR19 dijejaki lebih 107,000 pengguna pada petang Selasa.
Pada Selasa Pelosi, 82, tiba di Malaysia dari Singapura bagi lawatan rasmi.
Kuala Lumpur menjadi lokasi persinggahan kedua Pelosi selepas melawat Singapura sebelum beliau dijadual ke Korea Selatan dan Jepun.
Menurut laporan media, Pelosi yang kini dalam jelajah rasmi Asia, akan 'singgah' di Taiwan dan dijadual bertemu Presiden Tsai Ing-wen pada Rabu. Bagaimanapun tiada pengesahan rasmi berkenaan laporan itu.
China sebelum ini mendakwa lawatan tersebut mencerminkan sikap AS tidak menghormati polisi One-China memandangkan Taiwan masih di bawah pemerintahannya, biarpun wilayah itu telah ditadbir secara demokrasi.
Dalam perkembangan lain, South China Morning Post pula melaporkan pesawat SPAR19 dilihat berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 3.42 petang tadi.
Menurut media Taiwan, pesawat yang membawa Pelosi dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Songshan sekitar jam 10.20 malam, namun tidak dapat dipastikan sama ada pesawat itu diiringi oleh pesawat tentera AS atau tidak.
#Lawatan rasmi Nancy Pelosi
#Pesawat Nancy Pelosi dijejaki
#Flightradar24
#lawatan Pelosi ke Taiwan
#Taiwan