Pesawat Bangladesh terhempas, 50 terkorban

Astro Awani
Mac 12, 2018 19:00 MYT
Anggota penyelamat Nepal berusaha menyelamatkan penumpang pesawat yang terhempas di Kathmandu, Nepal, 12 Mac, 2018. (Foto AP)
Sekurang-kurangnya 50 terkorban apabila sebuah kapalterbang Bangladesh yang membawa 71 penumpang terhempas pada Isnin ketika hendak mendarat di Lapangan Terbang Kathmandu, Nepal.
Pesawat yang dikendalikan oleh US-Bangla Airlines itu, sedang dalam perjalanan dari Dhaka ketika ia melanggar pagar lapangan terbang dan terbakar, menurut Raj Kumar Chettri, pengurus besar lapangan terbang itu.
"Kami telah menemui 50 mayat setakat ini," kata jurucakap tentera Gokul Bhandari.
Beberapa orang telah berjaya diselamatkan keluar dari bangkai pesawat siri Bombardier Q400 yang terbakar itu sementara nasib sembilan orang lagi masih belum diketahui.
Kapalterbang itu terbakar dan terhenti di sebuah lapangan berdekatan tarmak Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif US Bangla Airlines Imran Asif dilaporkan berkata, pihaknya menerima berita mengenai kemalangan itu satu jam setengah selepas pesawat itu terhempas.
"Pesawat itu terhempas di dalam kawasan lapangan terbang, sebaik sahaja mendarat. Buat masa ini, kami tiada maklumat lanjut tentang apa yang berlaku.
"Setakat ini, kami hanya boleh sahkan kejadian. Sekarang, lapangan terbang itu ditutup. Setelah ia dibuka, pasukan kami akan terus ke sana serta-merta.
"Bilangan sebenar individu yang cedera atau mati masih belum dapat didedahkan. Jumlah penumpang ialah 65 orang dan dua bayi. Perkembangan lanjut kami akan laporkan sejurus selepas pasukan kami tiba di sana," katanya.
#Birendra Prasad Shrestha #Kathmandu #lapangan terbang #Nepal #pesawat #terhempas
;