Pesawat Amerika di Afghanistan didakwa ditahan Taliban
Astro Awani
September 5, 2021 07:43 MYT
September 5, 2021 07:43 MYT
JAWATANKUASA Luar Negeri Republikan mendakwa beberapa warga Amerika Syarikat yang berusaha untuk keluar dari Afghanistan sejak tentera Amerika meninggalkan Kabul, telah disekat oleh Taliban.
Wakil Republikan, Michael McCaul berkata sebanyak enam pesawat yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Mazar-i-Sharif telah menjadi tebusan Taliban.
Pekerja di lapangan terbang berkenaan mengesahkan perkara berkenaan.
Bercakap pada program berita 'Fox News Sunday', McCaul mendakwa Taliban telah membuat beberapa tuntutan kepada Amerika.
Bagaimanapun, Taliban tidak meletakkan secara khusus tuntutan-tuntutan berkenaan.
"Mereka tidak membenarkan pesawat untuk berlepas. Kesemua penumpang masih berada di dalam kapal terbang itu sudah beberapa hari.
"Kita pasti tindakan ini adalah kerana Taliban mahukan sesuatu sebagai pertukaran. Keadaan ini benar-benar telah membuatkan kesemua yang ditahan ini menjadi tebusan.
"Mereka tidak akan membenarkan warga Amerika pergi sehingga mereka mendapat pengiktirafan penuh dari Amerika Syarikat," katanya kepada stesen televisyen Fox News pada Ahad.
Terdahulu, beliau ditanya, apakah tuntutan yang dibuat oleh Taliban.
Taliban didakwa bertindak menghalang pesawat itu berlepas, dan menahannya dengan alasan mahu memeriksa dokumen penumpang yang kebanyakannya tidak mempunyai pasport atau visa.
McCaul berkata, kesemua pesawat itu kini telah ditahan beberapa hari di lapangan terbang berkenaan.