'Pesawat Airbus A321 tidak diserang dari luar'
Agensi
November 2, 2015 00:37 MYT
November 2, 2015 00:37 MYT
Pesawat Rusia yang terhempas di Semenanjung Sinai, Mesir tidak diserang dari luar dan juruterbang tidak membuat panggilan kecemasan sebelum ia hilang dari radar, menurut sumber jawatankuasa analisis perakam pesawat, pada Isnin.
Kerajaan Mesir sebelum ini menyatakan kotak hitam telah diperiksa oleh penyiasat Rusia dan Mesir bersama pakar penerbangan Airbus dari Jerman, Perancis dan Ireland tempat pesawat tersebut didaftar.
Mesir juga menyatakan misi pencarian masih diteruskan dalam radius 9km persegi dari lokasi pesawat itu terhempas.
Pegawai Rusia berkata, pesawat yang membawa pelancong dari pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir ke St Petersburg, Rusia itu mungkin berkecai di udara, namun masih terlalu awal untuk menyatakan punca kapal terbang itu terhempas.
Pada Sabtu, pesawat penumpang Rusia itu terhempas di kawasan pergunungan terpencil di Semenanjung Sinai, Mesir, 23 minit selepas berlepas dari sebuah pusat peranginan berhampiran Laut Merah.
Nahas tersebut membunuh kesemua 224 penumpang dan kru, termasuk 25 kanak-kanak.