Pesanan Habibie untuk anak muda
Astro Awani
September 11, 2019 21:23 MYT
September 11, 2019 21:23 MYT
BIARPUN melakar kejayaan di luar negara, namun Bacharuddin Jusuf Habibie atau B.J. Habibie memilih untuk kembali ke Indonesia.
Bekas presiden ketiga Indonesia yang kembali ke rahmat Allah pada lewat petang Rabu ketika hayatnya ada menitipkan pesanan kepada semua anak muda tidak kira di mana.
Berikut antara pesanan tinggalan Allahyarham:
1. Kerja keras dan bekorban
Habibie pernah berkata kejayaan bukan hanya milik mereka yang mempunyai kecerdasan yang tinggi, malah katanya kecerdasan itu akan jadi sia-sia tanpa kerja keras. Hujah beliau, kejayaan tidak akan diperoleh secara mudah sebaliknya pengorbanan dan kerja keras mampu menghasilkan apa yang diinginkan.
2. Kejarlah yang kamu impikan
Ada kalanya anda dipandang sebelah mata oleh orang lain, seperti Habibie yang pernah diremehkan oleh rakan setugas ketika di Jerman. Kerjayanya juga tidak sentiasa mudah malah sering juga mengalami kegagalan. Tetapi beliau tidak pernah berhenti berusaha hingga akhinya mencapai apa yang dimahukan.
3. Selalu sedia menghadapi cabaran
Kata Habibie, apa pun jalannya, pasti ada rintangan dan cabaran. Oleh itu, anda perlu siap sedia menghadapinya. Katanya, ketika kesusahan datang, waktu itulah kita mempelajari perkara baru. Biar mampu menghadapi setiap cabaran. Salah satu cara mempersiapkan diri menghadapi cabaran ialah dengan meningkatkan kemampuan.
4. Tekuni bidang yang dipilih secara konsisten
Pilih satu bidang yang disukai atau dikuasai, dan tekunilah secara konsisten. Hal ini jauh lebih bijak dibanding menekuni banyak perkara tetapi dengan kemampuan sederhana. Seperti Habibie yang konsisten menekuni bidang penerbangan pada masa mudanya.
5. Fokus pada karya
Daripada sibuk bercakap tentang orang lain, kata Habibie, lebih baik masa yang ada digunakan untuk berusaha sebaik mungkin. Dengan cara itu, cepat atau lambat orang lain bakal melihat hasil kerja keras anda.
6. Jadilah berguna bagi sesama manusia
Apa erti kejayaan kepada anda? Bagi Habibie, kejayaan seseorang dapat dinilai dari berapa banyak manafaat yang boleh diberikan kepada orang lain. Jika ingin berjaya, bertekadlah menjadi individu yang bermanafaat kepada orang sekeliling.
Itulah tips kejayaan Habibie untuk anak muda. Tidak ada kata terlambat untuk memulakan, tidak ada kata gagal selagi tidak berhenti berusaha.
Terima kasih Bapak Habibie atas segala-galanya. Kamu akan dikenang sebagai negarawan terulung.
Semoga kamu ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman.
BACA: Belajar makna cinta dan setia daripada Habibie