Pesan telefon pintar dapat bom tangan

Sinar Harian
September 3, 2023 08:30 MYT
Bungkusan bom yang diterima lelaki di Mexico. - Agensi
MEXICO CITY: Hajat seorang lelaki Mexico untuk memiliki telefon pintar tidak kesampaian apabila barangan pos yang sampai di rumahnya merupakan sebutir bom tangan, lapor New York Post.
Pelanggan yang enggan dikenali itu mendakwa bahawa dia memesan alat komunikasi dari kedai dalam talian untuk dihantar ke rumahnya di Leon, Guanajuato.
Apabila bungkusan itu tiba pada Isnin lalu, ibunya bergegas mengambil pesanan itu dan meletakkan atas meja dalam rumahnya.
Apabila pulang ke rumah dan membuka bungkusan itu, lelaki tersebut terkejut apabila barangan disangkakan telefon pintar, sebenarnya sebutir bom tangan sebenar seperti mana pernah dilihat dalam filem Rambo.
Oleh kerana bimbang jika bom itu meletup, lelaki itu bergegas menghubungi pihak berkuasa dan skuad pemusnah bom di hantar ke lokasi kejadian.
Tidak berapa lama, pihak berkuasa dan Kementerian Pertahanan tiba dan terus mengepung kediaman tersebut kerana bimbang ia akan meletup.
Mujurlah, pasukan tentera berjaya menyahaktifkan peranti itu, sementara pihak berkuasa menyiasat asal-usul pakej tersebut.
Bagaimanapun, setakat ini mereka belum mengenal pasti pengirimnya.
Penemuan senjata haram sudah menjadi perkara biasa di Mexico di mana kartel dadah menggunakan bom untuk melancarkan perang dengan pihak berkuasa atau kumpulan pesaing lain.
Sejak enam tahun lalu, polis Mexico berjaya merampas lebih 600 butir peranti letupan buatan sendiri di Guanajuato. - Agensi/ Sinar Harian
#bom tangan #beli telefon dapat bom #lelaki Mexico #filem Rambo
;