Pesalah rasuah hidup mewah dalam penjara Bandung
Bernama
Julai 22, 2018 11:04 MYT
Julai 22, 2018 11:04 MYT
Penjara Sukamiskin di Bandung yang dikhususkan untuk pesalah rasuah, rupa-rupanya turut menawarkan "pakej istimewa" untuk penjenayah rasuah itu.
Pesalah rasuah yang menjalani hukuman itu boleh mendapatkan pakej istimewa - "sel penjara mewah dan pakej bebas keluar masuk penjara dengan bayaran sebanyak Rp200 juta hingga Rp500 juta.
Menerusi bayaran atau sogokan rasuah itu, banduan di penjara yang terletak di Jalan AH Nasution Kota Bandung itu akan memegang sendiri kunci sel penjara, membolehkan mereka bebas keluar dan masuk sesuka hati.
Timbalan Pengerusi Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia (KPK) Laode Muhammad Syarif berkata KPK menahan empat suspek iaitu ketua penjara berkenaan, seorang staff penjara dan dua banduan yang sedang menjalani hukuman tetapi berada di luar penjara, semalam.
Ketua Penjara Sukamiskin, Wahid Husen yang baru empat bulan menjawat jawatan itu ditahan Sabtu malam di rumahnya di Bandung dan KPK turut menemui wang berjumlah ratusan juta rupiah, dipercayai berkaitan bayaran pakej berkenaan, kata Laode Muhammad.
Hasil siasatan dan serbuan pasukan KPK di penjara itu semalam mendapati terdapat beberapa sel penjara telah diubahsuai seperti kamar hotel yang dilengkapi penghawa dingin, televisyen dan peti sejuk untuk mereka (banduan) yang membayar pakej berkenaan.
Media di Indonesia melaporkan, antara banduan yang ditahan itu ialah suami kepada artis popular Indonesia era 1990an, Inneke Koesherawati.
Suaminya, Fahmi Darmawansyah, seorang usahawan dijatuhi hukuman penjara 2 tahun 8 bulan atas kesalahan rasuah pada Mei tahun lepas.
KPK turut menyoal siasat Inneke berhubung penahanan suaminya itu.
Kementerian Uandang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia dilaporkan turut menjalankan siasatan berhubung pendedahan dan tangkapan KPK itu.
-- BERNAMA
#Indonesia
#Muhammad Syarif
#pakej bebas keluar masuk penjara
#pakej istimewa
#penjara
#Penjara Sukamiskin
#pesalah rasuah
#Rasuah
#sel penjara mewah
#sogokan
#Wahid Husen