'Pesalah paling keji' dipenjara 40 tahun kerana dera kanak-kanak secara seksual
Afiq Ariffin
Mei 17, 2019 14:33 MYT
Mei 17, 2019 14:33 MYT
SEORANG pelancong pedofil di Adelaide dijatuhi hukuman penjara 40 tahun selepas mengaku bersalah di atas 50 pertuduhan mendera kanak-kanak secara seksual di Australia.
Ia sekali gus menjadikannya pesalah pedofil paling keji dan dijatuhi hukuman penjara paling panjang dalam kesalahan melibatkan kanak-kanak di Australia.
Ruecha Tokputza, 31, dijatuhi hukuman di Mahkamah Daerah Australia Selatan selepas dia mengaku bersalah terhadap 50 pertuduhan yang dilakukan di antara 2011 dan 2018 terhadap bayi dan kanak-kanak lelaki.
Pendakwa Raya, Heath Barklay SC sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa kes tersebut lebih serius daripada disangka dan turut menganggapnya sebagai kejadian paling buruk di Australia.
Tokputza ditangkap pada 2018 menerusi siasatan bersama yang dijalankan oleh Polis Persekutuan Australia, Polis Australia Selatan, Polis New South Wales dan Interpol.
Mahkamah juga memberitahu Tokputza mempunyai ribuan gambar dan video hasil daripada eksploitasi seks peliknya.
Hakim Liesl Chapman pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan tiga bulan dengan tidak dibenarkan parol selama 28 tahun ke atas Tokputza.