Pesakit koronavirus bukan warga China dilaporkan di empat negara
Nailah Huda
Januari 30, 2020 11:45 MYT
Januari 30, 2020 11:45 MYT
RAKYAT tempatan di Jepun, Taiwan, Jerman dan Vietnam mencatat kes positif koronavirus yang sebelum ini hanya didiagnos dalam kalangan rakyat China dari Wuhan.
Di Jepun, tiga rakyat yang dibawa pulang dari Wuhan pada Rabu disahkan positif koronavirus, menurut laporan media tempatan NHK yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan negara itu.
Antaranya, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an yang didapati demam manakala dua pesakit lain tidak menunjukkan sebarang simptom.
Kini, Jepun mencatat 11 kes positif koronavirus.
Jerman pula mengesahkan empat kes positif koronavirus, kesemuanya kakitangan syarikat Webasto yang berpangkalan di daerah Starnberg.
Keempat-empat pesakit warga Jerman itu dijangkiti virus berkenaan selepas menghadiri sesi latihan yang dianjurkan oleh seorang kakitangan dari China pada 21 Januari.
Kata Ketua Jabatan Keselamatan Kesihatan dan Makanan Bavaria, Andreas Zapf, wanita dari China itu mula mengalami demam ketika dalam perjalanan pulang pada 23 Januari.
Di Taiwan, kes kelapan dan terbaharu yang didiagnos positif koronavirus merupakan kes pertama rakyat tempatan dijangkiti virus itu.
Menurut Pusat Arahan Epidemik Taiwan, pesakit dijangkiti isterinya yang baru pulang dari China atas urusan bekerja.
Sementara itu di Vietnam, pesakit pertama disahkan positif koronavirus, seorang lelaki berusia 65 tahun dari Wuhan, menjangkiti anaknya, 27 tahun.
Anaknya tidak membuat lawatan ke China baru-baru ini dan dipercayai dijangkiti kerana berada dalam kontak rapat dengan bapanya.
Negara itu masih kekal mempunyai dua kes positif virus berkenaan.
Setakat ini, Thailand masih mencatat kes positif tertinggi dengan 14; Jepun 11; Singapura 10; Taiwan 8; Macau 7; Australia 6; Amerika Syarikat dan Perancis masing-masing 5; Korean Selatan, Jerman dan Arab Emiriah Bersatu masing-masing 4; manakala Tibet menjadi negara terbaharu melaporkan satu kes positif.
Tiada kematian dilaporkan berlaku di luar China.
#China
#coronavirus
#jangkitan
#jangkitan manusia
#Jepun
#Jerman
#Kementerian Kesihatan
#kontak rapat
#koronavirus
#rakyat tempatan
#Taiwan
#WHO