Pesakit kanser berlayar solo kutip sampah
Sinar Harian
Oktober 5, 2018 15:27 MYT
Oktober 5, 2018 15:27 MYT
Seorang wanita pernah melihat sarang burung diperbuat dari plastik mendorong dirinya bergerak secara solo menggunakan papan peluncur di Selat Inggeris bagi mengatasi pencemaran air.
Memetik portal East London, sepanjang aktiviti pengembaran solonya sejak Mei 2016, dia telah mengumpul sampah dan antara barang ditemui lebih daripada 1,600 botol, 40 bola sepak, kon, dan tong sampah.
Lizzie Carr, 32, juga seorang pesakit kanser tiroid tahap dua berkata, dia bukan hanya memancing beberapa botol plastik di sungai tetapi turut mengambil sampel air bagi tujuan penyelidikan.
Kini, dia telah mengadakan pembersihan sebanyak 12 tempat di seluruh negara pada musim panas dan mensasarkan beberapa saluran air yang paling tercemar di negara ini.
"Sambutan amat menggalakkan dari orang ramai terhadap isu pencemaran plastik telah mendorong saya untuk menjalankan lebih banyak pembersihan tahun ini.
"Dengan melibatkan diri, orang dapat mencuba aktiviti baharu, bertemu dengan orang yang berfikiran sama dan menjadi lebih baik, tetapi dengan satu matlamat iaitu mengekang pencemaran air," katanya.
Menurutnya, sepanjang kempen itu, dia menghabiskan perjalanan 400 kilometer dalam 22 hari dengan mengambil lebih 2,000 keping gambar pencemaran plastik.
Beliau juga melancarkan kempen plastik di seluruh negara untuk mengurangkan 80 peratus pencemaran di lautan, sungai mahupun terusan secara percuma.
Katanya, sukarelawan tidak perlu pengalaman sebaliknya hanya menyediakan papan luncur sendiri.