Pesakit COVID-19 warga emas di pusat kuarantin Hong Kong terabai, tak mandi 20 hari, alami ulser kulit
Agensi
Mac 18, 2022 18:32 MYT
Mac 18, 2022 18:32 MYT
HONG KONG: Beberapa pesakit COVID-19 warga emas di sebuah fasiliti kuarantin di Hong Kong mendakwa telah diabaikan dengan ada dalam kalangan mereka yang tidak dapat mandi selama 20 hari, dan mengalami ulser kulit.
Kemudahan di pusat kuarantin AsiaWorld-Expo di Pulau Lantau yang disediakan pemerintah Hong Kong itu malah disifatkan sebagai ‘neraka hidup’ oleh sebilangan jururawat yang bertugas, lapor portal berita South China Morning Post.
Ahli keluarga dan waris pesakit bukan sahaja tidak berpuas hati dengan keadaan wad yang tidak berkualiti, malah kecewa dengan layanan yang diberikan terhadap orang kesayangan mereka yang ditinggalkan di situ.
Petugas perubatan kanan di fasiliti itu juga telah secara umum mendesak pihak pemerintah untuk segera menangani perkara berkenaan.
Lawrence Yip, 46, meninggalkan ibunya yang berusia 83 tahun di pusat tersebut selama dua minggu menyelar pihak pemerintah kerana ‘terlalu lambat bertindak’.
“Sudah dua tahun pandemik melanda. Mengapa pemerintah tidak menyedari dan tidak bersedia untuk berdepan situasi kritikal?” soalnya.
Dakwa warga tempatan itu, ibunya yang mengalami kesukaran untuk berjalan, tidak dimandikan selama lebih dua minggu. Disebabkan pengalaman itu, dia mendesak pihak berkuasa menguruskan sesi panggilan video harian untuk berhubung dengan ahli keluarganya.
Sementara itu bagi surirumah yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 65, dia terasa pilu apabila mengetahui ibunya yang berusia 93 tahun kini mengalami masalah ulser kulit selepas dibiarkan terbaring selama 23 hari di pusat berkenaan.
Menurutnya, sebelum mendapat katil, ibunya terpaksa menunggu selama lima hari di luar jabatan kecemasan Hospital Lantau.
“Saya menyesal menghantar ibu saya ke situ dan dia terpaksa berdepan kesulitan sendirian,” keluh Wong kepada SCMP.
Kemudahan kuarantin tersebut yang terletak berdekatan lapangan terbang, dilancarkan pada Januari lalu dengan menawarkan 500 katil untuk pesakit COVID dengan simptom ringan. Ia kini diuruskan Pihak Berkuasa Hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Ia pada awalnya merupakan sebuah hospital kabin bergerak dari Disember 2020 hingga Mac tahun lalu, namun kini kemudahan di situ sudah tidak lagi dalam keadaan baik malah terabai.