Perusahaan kecil dan sederhana di Jerman kembali beroperasi
Agensi
April 19, 2020 21:49 MYT
April 19, 2020 21:49 MYT
PERUSAHAAN kecil dan sederhana di Jerman kembali beroperasi pada Ahad selepas Canselor Angela Merkel membuka semula ekonomi bagi sektor tersebut.
Jerman kini dalam peralihan daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang lebih ketat kepada kelonggaran bertujuan meningkatkan semula ekonomi negara itu.
Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di Jerman sejak 22 Mac lalu menyebabkan negara itu kerugian hampir 30 bilion euro dan menyebabkan banyak perusahaan kecil dan sederhana ke ambang muflis.
Susulan pelaksanaan tersebut juga, kerajaan mengumumkan dana berjumlah 1 trilion euro yang akan disumbangkan kepada syarikat dan pekerja yang terjejas bagi mengelakkan kerugian dan pemberhentian beramai-ramai.
Antara perusahaan yang dibenarkan beroperasi termasuk kedai runcit, syarikat pengedar kenderaan, kedai basikal dan kedai buku.
Bagaimanapun, bar, restoran, pusat gimnasium dan kedai yang lebih besar masih tidak dibenarkan beroperasi.
Sebagai langkah pencegahan, orang ramai digesa memakai topeng mulut dan hidung sebelum memasuki kedai dan hanya beberapa orang sahaja dibenarkan masuk pada satu-satu masa.
Setakat Ahad, Jerman mencatatkan lebih 140,000 kes positif COVID-19 dengan lebih 4,500 kematian.
Sebelum ini, Jerman merupakan negara Eropah terawal mengambil langkah pencegahan penularan COVID-19 dengan penutupan kilang-kilang, restoran dan kedai-kedai di daerah Madrid sehingga Prague.
#Canselor Angela Merkel
#COVID-19
#ekonomi
#Jerman
#perintah kawalan pergerakan
#perusahaan kecil dan sederhana