Perunding keamanan Palestin, Saeb Erekat, meninggal dunia akibat COVID-19

Agensi
November 10, 2020 19:02 MYT
Kematian perunding veteran berusia 65 tahun itu diumumkan ahli keluarga mendiang dalam satu ciapan di laman media sosial Facebook. - Gambar fail
BAITULMAQDIS: Selepas berminggu-minggu bertarung nyawa akibat COVID-19, Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat, meninggal dunia pada Selasa.
Kematian perunding keamanan veteran berusia 65 tahun itu diumumkan ahli keluarganya dalam satu ciapan di laman media sosial Facebook.
"Pada 10 Nov 2020 di Jerusalem (Baitulmaqdis), ibu kota Palestin, bapa kesayangan Saeb Erekat pergi dengan aman.
"Beliau mengalami kehidupan yang penuh kewibawaan, cinta, kemaafan, dan kedamaian. Beliau amat dirindui. Moga kebijaksanaan beliau dapat disebarkan ke seluruh dunia," kata anak lelakinya, Dalal Iraqat, dalam entri tersebut.
Erekat didapati positif menghidap COVID-19 pada 8 Oktober dan sejak itu menjalani rawatan perubatan di rumahnya.
Beliau kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Hadassah di Baitulmaqdis bagi mendapatkan rawatan perubatan khas selepas keadaan kesihatannya bertambah buruk, pada 20 Oktober lepas.
Erekat menderita komplikasi kronik pada sistem pernafasannya dan pernah menjalani pembedahan transplan paru-paru di Amerika Syarikat pada 2017.
#Saeb Erekat #perunding keamanan #Palestin #pandemik #COVID-19 #Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin #PLO
;