Perubahan iklim : Ribuan sertai perhimpunan di serata dunia
Agensi
September 22, 2014 11:19 MYT
September 22, 2014 11:19 MYT
Dianggarkan lebih 600,000 peserta termasuk golongan selebriti, pemimpin politik dan orang ramai menyertai satu perarakan besar-besaran yang menggesa satu tindakan baru diambil serta-merta berikutan perubahan mendadak iklim dunia.
Perarakan paling besar diadakan di ibu kota New York, Amerika Syarikat dan beberapa bandar utama di seluruh dunia.
Pelakon terkenal Hollywood Leonardo DiCaprio, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon dan Datuk Bandar New York, Bill de Blasio turut menyertai perarakan itu yang berlangsung di Sixth Avenue pada Ahad.
Bintang-bintang Hollywood seperti Leonardo DiCaprio (tengah), Edward Norton (kanan)dan Mark Ruffalo (kiri) antara yang turut serta dalam perarakan protes cuaca dunia di New York, Amerika Syarikat yang diadakan pada, 21 September 2014. EPA/PETER FOLEY
Selain New York, perhimpunan turut diadakan di bandar-bandar utama beberapa negara di Amerika Latin, Eropah, India dan Australia.
Penganjur menganggarkan lebih 310,000 peserta menyertai perarakan di New York yang melibatkan golongan berusia, yang menggunakan kerusi roda,bertongkat, ibu-bapa bersama anak-anak dan kumpulan-kumpulan komuniti.
Mereka berarak sambil bersorak "Selamatkan Bumi" sambil membawa slogan seperti " Segera, Selamatkan Bumi Kita".
Ban, yang memakai topi besbol dan kemeja-T yang tertulis "I'm for Climate Action" memuji de Blasio yang berjanji New York akan mengurangkan tahap pelepasan gas rumah hijaunya sebanyak 80 peratus bermula 2005 hingga 2050.
"Saya sangat terharu dengan suara orang ramai yang begitu lantang, dan berharap suara ini dapat didengari oleh pemimpin-pemimpin apabila mereka bersidang pada 23 September.
"Tiada Plan B akan diadakan kerana kita tiada Planet B. Kita harus berusaha dan bersungguh-sungguh dengan tindakan kita," kata Ban lagi.
Setiausaha Agung PBB itu berjalan sejauh sembilan blok bersama bekas naib presiden Amerika Syarikat Al Gore, de Blasio, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius dan Menteri Ekologi Perancis, Segolene Royal.
Melbourne ke Bogota
Selain New York, lebih 270,000 peserta turut menyertai kira-kira 2,500 acara protes perubahan iklim ini di serata dunia, kata pihak penganjur.
Di London, dianggarkan seramai 40,000 peserta berarak melintasi Dataran Trafalgar dan Houses of Parliament termasuklah pelakon Emma Thompson.
Kumpulan pemberi tekanan Avaaz, berkata 30,000 peserta menyertai perarakan di Melbourne dan sekurang-kurangnya 15,000 lagi di Berlin dan 5,000 peserta di Rio de Janeiro.
Polis Perancis menganggarkan lebih 4,800 peserta menghadiri tunjuk perasaan di Paris. Ratusan lagi berkumpul di Madrid, Sydney, Bogota dan New Delhi.
2 juta tandatangan
Pengarah Eksekutif Avaaz, Ricken Patel, turut menyerahkan satu petisyen yang ditandatangani dua juta orang kepada Ban di New York.
"Jumlah peserta perarakan yang menyertai perarakan ini melangkaui jangkaan kami," kata Patel.
"Isu perubahan iklim adalah bukan isu yang baru, ia adalah isu semua orang," katanya.
"People's Climate March" di New York disokong lebih dari 1,400 organisasi termasuklah kumpulan-kumpulan pencinta alam sekitar, kumpulan keadilan, dan kesatuan sekerja.
Pelajar pula berarak dari lebih 300 kampus kolej sekitar bandar itu.
PBB akan mengadakan Sidang Kemuncak Mengenai Perubahan Iklim pada Selasa bagi mencari satu penyelesaian segera terhadap masalah perubahan iklim global yang semakin meruncing.