Perubahan iklim realiti kelam, setinggan pantai di Mumbai dibimbangi cepat tenggelam
Agensi
November 30, 2019 18:18 MYT
November 30, 2019 18:18 MYT
Penduduk setinggan yang membina petempatan di zon pantai di kota Mumbai bakal berdepan dengan satu lagi ujian getir.
Tidak cukup selama ini bertahan dengan cuaca panas dan hujan, kejadian banjir dan juga sistem kumuh yang terbuka, nyawa mereka kini dalam pertaruhan berikutan ancaman kenaikan paras air laut yang disebabkan pemanasan global.
Agensi berita Reuters melaporkan, ratusan ribu orang, yang kebanyakannya migran dari bahagian lain negara itu, tinggal dalam pondok-pondok daif yang dibina di tebing laut.
Golongan itu merupakan yang pertama akan dibadai ombak dan limpahan air laut akibat realiti perubahan iklim.
"Mendengar khabar tentang kenaikan air laut sahaja membuatkan kami takut. Apa kami perlu lakukan? Kami telah tinggal di sini sejak sekian lama. Harap kerajaan akan membantu kami,” ujar seorang penghuni setinggan kejiranan Worli, Kamakshi Tangesh Devender.
Isu perubahan iklim ‘menjanjikan’ ancaman besar buat komuniti miskin di negara membangun seperti India, Indonsia dan Filipina. Golongan yang dalam kesempitan hidup itu tidak mampu melindungi diri mereka daripada impaknya.
Sebuah penyelidikan daripada organisasi iklim sains bukan beraaskan keuntungan di Amerika Syarikat, Climate Central, mendedahkan bahawa perubahan iklim akan meletakkan 300 juta orang di seluruh dunia dalam bahaya disebabkan limpahan air laut menjelang tahun 2050.
"Mumbai akan ditenggelami air. Kita perlukan perancangan untuk berdepan kemungkinan itu. Apa yang perlu difikirkan adalah lokasi bandar raya baharu untuk menggantikan Mumbai. Ia harus di kawasan yang lebih jauh di daratan yang lebih tinggi,” ujar aktivis alam sekitar, Debi Goenka.
Selain kenaikan paras air laut, para saintis juga meramalkan perubahan iklim juga akan mengakibatkan kejadian cuaca ekstrem di seluruh dunia seperti kemarau dan banjir.