Perubahan iklim punca banjir buruk di Filipina

Astro Awani
Julai 27, 2024 08:00 MYT
Anggota kecemasan menyelamat penduduk yang terkandas akibat banjir dan hujan lebat disebabkan Taufan Gaemi di Manila, Filipina. - Foto REUTERS
MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menyifatkan perubahan iklim adalah punca banjir teruk yang melanda ibu negara Manila selepas hujan lebat akibat Taufan Gaemi menyebabkan banjir dahsyat dan tanah runtuh.
Ferdinand yang menyertai usaha bantuan di Manila berkata, beliau mahu melihat sendiri keadaan di ibu negara Filipina berbanding hanya membaca laporan kesan akibat bencana tersebut.
Katanya, semasa turun padang membuat tinjauan dan bertanyakan rakyat, beliau mendapati ia adalah kesan perubahan iklim.
Selepas membuat tinjauan beliau menyerahkan pek makanan kepada penduduk yang terjejas banjir.
Taufan Gaemi atau dikenali sebagai Carina di Filipina, tidak mendarat di negara itu.
Namun ia mengakibatkan banjir serta tanah runtuh sehingga memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan darurat membabitkan kira-kira 15 juta penduduk.
Sekurang-kurangnya 14 orang terkorban, sementara lebih 600,000 yang lain hilang tempat tinggal akibat Taufan Gaemi.
Gaemi pada Sabtu melanda wilayah Fujian di tenggara China, menyebabkan 150,000 penduduk perlu dipindahkan ke lokasi selamat.
Filipina mengalami kira-kira 20 ribut dan taufan setiap tahun, tetapi perubahan iklim mengakibatkan kesan lebih buruk kepada negara anggota ASEAN itu.
Sebelum ini pada 2013, Taufan Haiyan mengorbankan lebih 6,000 nyawa di tengah Filipina, sementara pada tahun 2021, Super Taufan Rai membunuh lebih 200 orang.
#banjir #Taufan Gaemi #tanah runtuh #Ferdinand Marcos Jr
;