Perubahan iklim: PBB seru golongan muda desak pemimpin dunia
Astro Awani
Oktober 31, 2021 08:55 MYT
Oktober 31, 2021 08:55 MYT
ROM: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyeru golongan muda di seluruh dunia agar mendesak pemimpin global bertindak terhadap perubahan iklim.
Tegas Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres, krisis perubahan iklim kini merupakan kod merah untuk kemanusiaan.
Guterres mengucapkan terima kasih kepada belia di seluruh dunia meminta pemimpin global bertanggungjawab jika tiada tindakan daripada mereka untuk tangani perubahan iklim.
"Terima kasih kerana menyokong tindakan iklim dalam komuniti anda, di jalanan dan dalam talian.
"Terima kasih kerana bercakap seadanya dan mendesak kerana kekurangan kepimpinan, untuk alasan langkah dan janji kosong.
"Saya berkongsi kekecewaan dan kemarahan anda kerana masa semakin suntuk. Satu-satunya masa depan untuk manusia adalah masa depan 1.5 darjah celcius.
"Esok, perwakilan akan mula rundingan COP26. Pemimpin bukan sahaja harus komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang pertengahan abad, tetapi menunjukkan kepada kita bagaimana mereka akan mencapainya. Kita perlu melihat tindakan konkrit sekarang," katanya.
Jelasnya, suara belia adalah kritikal pada masa ini melalui pengalaman, kemahiran dan pencapaian golongan tersebut.