Perubahan iklim: Negara-negara miskin makin terdesak, perlu lebih banyak belanja - PBB
Agensi
Januari 16, 2021 13:22 MYT
Januari 16, 2021 13:22 MYT
LONDON: Separuh daripada sumber kewangan dunia untuk berdepan perubahan iklim perlu digunakan untuk membantu negara-negara miskin mengadaptasi kesan pemanasan global, seperti kemarau, kenaikan paras laut dan banjir, lapor Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).
Reuters melaporkan, cuaca ekstrem pada tahun lalu seperti hujan lebat di Afrika, gelombang haba dan suhu panas di lautan tropika adalah tanda-tanda jelas perubahan iklim, kata saintis.
Tahun 2020 adalah antara tahun terpanas dalam rekod dan ketika kesannya melonjak, kerajaan di seluruh dunia perlu beradaptasi dengan lebih baik atau terpaksa menanggung kos, kerosakan dan kerugian yang dahsyat.
Perjanjian Paris 2015 telah menyasarkan usaha menangani kenaikan suhu dalam julat 2 darjah Celsius, atau 1.5 darjah Celsius pada abad ini.
Di bawah perjanjian itu, kerajaan sedunia juga setuju untuk mengambil langkah seperti pertahanan banjir, rumah yang lebih berkonsep hijau dan tanaman yang lebih tahan kemarau, selain bantuan kewangan kepada negara-negara miskin.
“Setiausaha Agung PBB pernah berkata, kita perlu komitmen global untuk mengetepikan separuh daripada kewangan dunia untuk tujuan penanganan perubahan ikim pada tahun depan.
“Ini bagi membolehkan usaha besar-besaran dibuat untuk tujuan adaptasi – segalanya dari sistem amaran awal, penjagaan sumber bekalan air hinggalah penyelesaian berasaskan alam,” ujar Pengarah Eksekutif UNEP, Inger Andersen.
Laporan tahunan UNEP yang merekod perkembangan usaha adaptasi itu menunjukkan 72 peratus negara dunia telah mengambil sekurang-kurangnya satu langkah perancangan persediaan.
Bagaimanapun, jurang kewangan yang luas terus kekal ketika usaha bantuan diteruskan untuk negara-negara membangun berdepan impak paling buruk.
Kewangan antarabangsa bagi usaha adaptasi perubahan iklim kini meningkat secara perlahan dari AS$30 bilion, atau 5 peratus setahun.
Namun, kos sebenar untuk menghadapi kemungkinan adalah dijangka berjumlah AS$70 bilion setahun, menurut laporan itu. Jumlah itu dijangka mencecah AS$140-300 bilion pada 2030 dan AS$280-500 bilion pada 2050.
#perubahan iklim
#pemanasan global
#UNEP
#PBB
#kemarau
#kenaikan paras laut
#dunia terancam
#alam sekitar