Perubahan iklim: Itali janji AS$1.4 bilion bantu negara miskin

Astro Awani
November 1, 2021 10:35 MYT
Mario Draghi ketika tiba di pusat persidangan La Nuvola untuk mengadakan sidang media pada penghujung sidang kemuncak G-20 di Rom, 31 Okt, 2021. (Foto AP)
ITALI akan menggandakan komitmen terhadap kewangan iklim bagi negara-negara miskin kepada AS$1.4 bilion setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Itali Mario Draghi pada akhir sidang kemuncak G-20 di Rom pada Ahad.
Wang itu merupakan sumbangan tahunan Itali sebanyak AS$100 bilion yang dijanjikan negara kaya secara kolektif, tetapi belum disampaikan.
Ia bagi membantu negara membangun beralih kepada sumber tenaga rendah karbon dan menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim.
"Terdapat janji untuk memberi AS$100 bilion setahun kepada negara miskin bagi tujuan menangani perubahan iklim. Ramai pihak mendakwa negara-negara G-20 masih tidak mencapai objektif ini.
"Hakikatnya bagaimanapun, kita telah hampir mencapai objektif ini. Kita sekarang berada dalam lingkungan AS$82-83 bilion.
"Kita juga akan dapat menggunakan, seperti yang dicadangkan Perancis dan kita sokong, tambahan elaun hak istimewa untuk mengisi bahagian yang mungkin tidak cukup.
"Walau apa pun, Itali hari ini mengumumkan komitmen AS$1.4 bilion setahun selama lima tahun dengan jumlah keseluruhan AS$7 bilion dolar," katanya.
Kenyataan Draghi itu mengesahkan komitmen $100 bilion setiap tahun untuk membantu negara miskin menghadapi perubahan iklim dan bagi meningkatkan pembiayaan bagi membantu negara berkenaan menyesuaikan diri.
Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan minggu lalu menganggarkan, ia akan mengambil masa beberapa tahun lagi sebelum negara kaya melaksanakan komitmen itu.
Draghi juga menjelaskan satu lagi pembaharuan penting, iaitu sistem percukaian antarabangsa bersama bagi menjamin bahawa semua syarikat membayar jumlah yang betul.
Beliau kemudiannya menutup perhimpunan G-20 pertama pasca pandemik di Rom itu dengan menyerahkan jawatan penggiliran kepada Presiden Indonesia Joko Widodo.
#Itali #Mario Draghi #sumbangan negara kaya #perubahan iklim
;