Perubahan iklim: 54 peratus tanah bagi penanaman kopi dijangka terjejas menjelang 2100 - Laporan
Bernama
Mei 15, 2023 04:30 MYT
Mei 15, 2023 04:30 MYT
LONDON: Perubahan iklim dijangka mengurangkan tanah tersedia untuk penanaman kopi sebanyak 54 peratus menjelang 2100 walaupun suhu global dihadkan kepada 1.5-2 darjah Celsius melebihi paras pra-industri, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Penanam kopi dari Honduras ke Ethiopia berkata penanaman biji kopi terjejas akibat ketidakstabilan iklim manakala badan amal Christian Aid menyeru kerajaan United Kingdom membantu mengumpul dana untuk membayar kerugian dan kerosakan iklim.
Badan amal itu berpendapat bahawa peningkatan suhu dan cuaca tidak menentu akan mengurangkan keluasan tanah dunia menanam kopi sebanyak 54.4 peratus.
Lebih separuh kopi di UK berasal dari Brazil dan Vietnam, dua negara yang sangat terdedah kepada perubahan iklim.
Vietnam mencatat suhu tertinggi pernah direkodkan pada 44.1 darjah Celsius minggu lalu.
Peningkatan suhu, serta hujan yang tidak menentu, penyakit, kemarau dan tanah runtuh yang disebabkan oleh perubahan iklim, mengancam menjejaskan industri kopi.
Seorang petani kopi Honduras, Yadira Lemus berkata: "Sebagai pengeluar kopi, ia semakin sukar untuk dihasilkan. Dan ya, itu jelas berkaitan dengan perubahan iklim.
" Lebih sukar untuk meramalkan cuaca. Sebelum ini, kita boleh jangkakan musim sejuk atau musim panas, dan bila kita boleh menanam. Tetapi sekarang tidak lagi," katanya.
Christian Aid mengeluarkan amaran dalam laporan baharu, "Wake Up and Smell The Coffee: The Climate Crisis and Your Coffee", menyeru dan sokongan kewangan untuk membantu petani mempelbagaikan mata pencarian mereka.
-- BERNAMA