Peru buka siasatan terhadap bekas presiden Merino

Bernama
November 17, 2020 12:46 MYT
Orang ramai mengadakan tunjuk perasaan selepas Manuel Merino meletak jawatan di Rio de Janeiro, Brazil, 15 Nov, 2020. REUTERS
LIMA: Peguam Negara Peru Zoraida Avalos pada Isnin berkata pihaknya akan membuka kertas siasatan terhadap bekas presiden Manuel Merino atas pertuduhan melakukan pembunuhan, berikutan kematian dua penunjuk perasaan pada Sabtu.
Dalam video yang dimuat naik di media sosial, Avalos berkata bekas Perdana Menteri Antero Flores-Araoz dan bekas Menteri Dalam Negeri Gaston Rodriguez juga sedang disiasat, lapor agensi berita Xinhua.
"Manuel Merino de Lama, Antero Flores-Araoz dan Gaston Rodriguez dituduh menyalahgunakan kuasa, pembunuhan tanpa niat terhadap Jordan Inti Sotelo Camargo dan Jack Bryan Pintado Sanchez," katanya memetik agensi berita Andina.
Merino meninggalkan pejabat presiden pada Ahad selepas mengambil alih jawatan itu pada Selasa, sehari selepas Martin Vizcarra disingkirkan, mencetuskan gelombang demonstrasi besar-besaran yang meragut dua nyawa.
Kongres Peru pada Isnin memilih Francisco Rafael Sagasti sebagai pemimpin baharu, langkah awal sebelum melantik beliau sebagai presiden.
-- BERNAMA
#Peguam Negara #siasatan #Jordan #Peru #Zoraida Avalos #kertas siasatan #kematian #Antero Flores-Araoz #Gaston Rodriguez #salah guna kuasa #pembunuhan tanpa niat #ambil alih jawatan #Manuel Merino #letak jawatan #demonstrasi #tunjuk perasaan #Penunjuk perasaan #video
;