Pertunjukan fesyen di Muzium British cetus kemarahan menteri Greece

Bernama
Februari 18, 2024 19:30 MYT
Moralioglu mempersembahkan koleksinya di hadapan arca Parthenon di Muzium British sebagai sebahagian daripada London Fashion Week. - Gambar hiasan
ATHENS: Menteri Kebudayaan dan Sukan Greece, Lina Mendoni pada Ahad mendakwa pertunjukan fesyen di hadapan arca Parthenon di Muzium British merupakan penghinaan kepada karya-karya agung pengukir dan arkitek Yunani purba, Phidias.
Ini berikutan tindakan pereka fesyen British, Erdem Moralioglu mempersembahkan koleksinya di hadapan arca Parthenon sebagai sebahagian daripada London Fashion Week.
"Muzium British sekali lagi menunjukkan rasa tidak hormat terhadap karya agung Phidias dengan menganjurkan pertunjukan fesyen di dewan dengan arca Parthenon turut dipamerkan.
"Ketua Muzium British merendahkan dan menghina bukan sahaja monumen itu, tetapi juga nilai-nilai sejagat yang diwakilinya. Syarat untuk mempamer dan menyimpan arca di Galeri Duveen semakin merosot," menurut menteri itu dalam satu kenyataan yang dilihat oleh Sputnik.
Utusan British ke Constantinople dari 1799 hingga 1803, Lord Elgin mengimport ke tanah airnya banyak karya seni Yunani purba yang kemudiannya dibeli oleh Muzium British.
Greece mendakwa arca itu dieksport tanpa kebenaran dan meminta ia dikembalikan. United Kingdom bagaimanapun menegaskan bahawa arca berkenaan diperoleh Lord Elgin secara sah dan arca itu kini menjadi milik Muzium British.
-- BERNAMA
#Phidias #Muzium British #Greece #penghinaan
;