Pertubuhan Rohingya beri amaran peningkatan genosid di Myanmar

Bernama
April 3, 2024 18:03 MYT
Situasi di Rakhine merosot dengan ketara selepas pertempuran meletus semula sejak November lepas antara Tentera Arakan dan junta tentera di Myanmar. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Rohingya Burma United Kingdom (BROUK) mengeluarkan amaran keras berhubung peningkatan genosid terhadap etnik Rohingya oleh junta tentera di Myanmar.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, BROUK menggesa tindakan segera masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menguatkuasakan langkah sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi melindungi penduduk Rohingya yang terancam.
Menurut BROUK, situasi di negeri Rakhine telah merosot dengan ketara selepas pertempuran meletus semula sejak November lepas antara Tentera Arakan dan junta tentera di Myanmar yang di ambang kekalahan.
BROUK berkata sebagai tindak balas, junta tentera telah memperhebat strategi pecah dan perintah dengan merekrut lelaki Rohingya secara paksa dan menghantar mereka ke barisan hadapan menentang Tentera Arakan.
Dalam kenyataan sama, Presiden BROUK Tun Khin berkata rejim itu menyasarkan etnik Rohingya untuk direkrut secara paksa untuk mudah diserang.
"Kami tidak boleh melarikan diri kerana sekatan pergerakan junta telah dikenakan ke atas kami - negeri Rakhine seperti penjara terbuka.
"Junta menganggap kami boleh dikorbankan. Ini adalah cara terbaharu mereka yang kejam untuk memperhebat genosid terhadap kami," katanya.
Laporan menunjukkan bahawa seramai 1,000 pemuda Rohingya, termasuk individu kehilangan tempat tinggal telah direkrut secara paksa menyertai tentera Myanmar sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
BROUK menyatakan bahawa individu itu telah diculik dari rumah mereka, kampung, pasar dan kem orang pelarian dalam negara (IDP), tertakluk kepada latihan ketenteraan dan dihantar ke barisan hadapan dengan persiapan yang minimum.
"Tindakan rejim itu telah mencetuskan ketakutan dan keresahan yang meluas dalam kalangan penduduk Rohingya yang berdepan tekanan melampau untuk mematuhi arahan pengambilan pekerja.
"Pemimpin Rohingya telah diugut, ditahan dan dipaksa untuk menyediakan kerahan tentera pemuda, dengan laporan ugutan menggunakan senjata api dan penahanan semalaman," menurut kenyataan itu.
Selain direkrut secara paksa, masyarakat Rohingya juga diarah menyertai protes anti-Tentera Arakan yang didalangi oleh junta untuk mencetuskan ketegangan etnik dan agama, seterusnya membahayakan penduduk Rohingya.
Sementara itu, BROUK berkata kerajaan Britain perlu segera mengadakan mesyuarat untuk membincangkan krisis yang semakin meruncing di negeri berkenaan.
-- BERNAMA
#Myanmar #Rakhine #Rohingya #genosid
;